Posted by : Cikgu Siber Isnin, 7 Disember 2015

Tidak dinafikan Google Search  merupakan satu enjin carian terbesar dan terpenting dunia. Namun, idea luarbiasa yang diperkenalkan oleh Wolfram|Alpha ternyata menjadikan teknologi enjin carian maju setapak ke hadapan.


Wolfram|Alpha merupakan satu enjin carian istimewa yang bukan sahaja mencari tetapi melakukan analisis terhadap maklumat yang dimahukan. Ianya umpama sebuah komputer pintar yang memberikan anda jawapan lengkap terhadap apa yang ingin dicari dengan paparan yang sangat jelas. Sebagai contoh, anda ingin mencari BMI badan anda. Dengan memasukan data yang berkaitan (contohnya: 'human, 5ft 10in, 160lb') carian akan memaparkan bukan sahaja jawapan tetapi segala maklumat yang anda perlu tahu mengenai BMI. 


Untuk melakukan carian yang efektif anda haruslah mengikut panduan yang diberikan. Sebagai contoh jika anda ingin membandingkan antara Mazda CX-3 dengan Honda CR-V anda haruslah memasukan kata kunci mazda 'cx-3 and honda cr-v'. Seterusnya carian akan memaparkan maklumat lengkap dalam bentuk perbandingan dan graf. Dengan memasukan kata kunci 'international space station' pula ia akan memaparkan kedudukan terkini objek buatan terbesar yang pernah dibina manusia di angkasa ini secara pemetaan langsung. 




Selain itu anda juga boleh melakukan analisis profail akaun Facebook anda. Dengan hanya menaip 'facebook report' anda akan dibawakan kepada beberapa menu untuk carian memproses dan menganalisis data profail anda seperti jalinan rakan, berapa kerap akan melakukan perkongsian status, perkataan yang selalu digunakan, gambar yang paling disukai, gambar paling banyak dikomen dan sebagainya. 




Sistem carian ini pada pendapat saya amat berguna dalam pendidikan dimana pelajar akan dapat menjimatkan masa dengan melakukan carian yang lebih terarah dan fokus. Mereka tidak lagi perlu mengunjungi laman web yang kandungannya belum tentu memberi jawapan tepat mengenai apa yang ingin dicari. Paparan hasil carian pula amat membantu dengan analisis data yang lengkap serta maklumat dipaparkan seumpama laporan yang akan menjadikan dapatan maklumat merupakan penemuan penting kepada mereka. 


Antara kelemahan sistem carian ini ia tidak memaparkan maklumat yang terkini dalam carian tajuk tertentu. Mereka menegaskan mereka bukanlah enjin carian sepertimana enjin carian popular yang mengindek laman web. Mereka menawarkan carian kandungan maklumat terbina yang dikurasikan oleh pakar untuk jawapan yang spesifik bagi setiap pertanyaan.

Kedua, anda perlu menguasai teknik carian tertentu untuk hasil carian yang memuaskan, namun, ianya saya kira bukanlah masalah besar kerana mereka menyediakan panduan atau contoh khusus untuk anda. Anda boleh klik pada kategori yang telah ditetapkan pada bahagian bawah carian untuk melihat panduan yang disediakan.

Pengasas Wolfram|Alpha, Stephen Wolfram dalam sesi perkongsian TED

Kesimpulannya, Wolfram|Alpha menawarkan perkhidmatan carian yang lebih spesifik dan sistematik. Ianya memberi manfaat yang besar kepada kehidupan manusia terutamanya cara manusia 'memburu' maklumat di Internet. Wolfram|Alpha bakal berkembang sebagai bukan sebuah enjin carian yang cekap, tetapi sebuah enjin carian pengetahuan khas yang sangat pintar serta mempunyai peranannya tersendiri. Adakah ianya lebih hebat daripada Google, jawapannya tidak kerana mereka berada dalam kategori yang berbeza. 


Terokai  Wolfram|Alpha


Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -