- Back to Home »
- dari meja blogger »
- Cetakan 3D di bilik darjah, impian saya untuk 2016
Posted by : Cikgu Siber
Ahad, 13 Disember 2015
Apabila ditanya kepada saya, "Apa yang anda mahukan untuk melengkapkan sebuah kelas abad ke-21?, kami punyai bajet sebanyak RM10,000 untuk anda...", saya akan menjawab "Ianya sebuah pencetak 3D".
Mengapa saya perlukan sebuah pencetak 3D? Ini kerana saya amat yakin dan percaya, dalam pembelajaran abad ke-21 yang melibatkan domain inovasi dan kreativiti serta budaya pencipta, mempunyai sebuah pencetak 3D di kelas merupakan satu kemestian.
Cetakan 3D pada tahun ini mencetuskan fenomenanya tersendiri, apakan tidak, ianya kini telah mencapai tahap kematangan yang tidak dijangka. Pencetak 3D kini bukan lagi digunakan untuk mencetak model prototaip semata-mata, ia kini digunakan untuk mencetak komponen produk siap dari pelbagai jenis material. Mencetak menggunakan pencetak 3D sebenarnya lebih menjimatkan kos pengeluaran dalam industri pembuatan.
![]() |
Cetakan 3D dari Estudio Durero membolehkan orang buta 'melihat' lukisan |
Kami pernah memaparkan bagaimana pencetak 3D gergasi digunakan untuk mencetak rumah dan apartmen di China. Pencetak 3D juga digunakan dalam industri pembuatan makanan apabila pizza dihasilkan menggunakannya. Baru-baru ini diadakan satu pertunjukan fesyen menggunakan tekstil hasilan cetakan 3D. Mereka menyatakan anda tidak perlu lagi pusat membelibelah untuk mendapatkan sesuatu pakaian, hanya perlu muat turun fail dan cetaknya sendiri di rumah.
Organ yang berada dalam badan manusia juga akan boleh turut sama dicetak dan teruji lebih baik daripada teknik implan biasa. Baru-baru ini, Airbus berkerjasama dengan Autodesk untuk menghasilkan komponen pesawat menggunakan teknik cetakan 3D. Ianya merupakan satu perkembangan yang amat sihat apabila pihak industri berteknologi tinggi begitu berani menggunakan potensi yang ada pada teknologi ini.
![]() |
Dr Mohd Nazimi Abd Jabar dari UKM dengan implan tengkorak menggunakan cetakan 3D |
Dalam pendidikan, penggunaan di sekolah sebagai contoh akan menggalakkan pelajar mencipta produk inovasi baru. Ianya boleh diintegrasikan dengan modul komputer kecil seperti Raspberry Pi atau Adruino, atau dipasang bersama modul robotik. Sudah tentu, pendedahkan pelajar kepada perisian pemodelan 3D akan memberi kemahiran baru buat mereka.
Pecetak 3D yang dahulunya amat mahal kini boleh didapati dengan harga yang mampu milik. Sebagai contoh Prusa I3 3D Desktop Printer merupakan satu jenama pencetak yang murah berkonsepkan DIY. Anda boleh mendapatkan pencetak ini ini di Lazada dengan harga hanya RM 1,248.00. Selain itu banyak jenama pencetak yang kini ditawarkan berharga dibawah RM10,000.
![]() |
Printer keluaran Prusa dengan tawaran harga mampu milik yang sukar dipercayai |
Sebagai kesimpulan, saya meramalkan pencetak 3D nanti bakal digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan peringkat menengah atas faktor kos milikannya yang semakin murah. Pendedahan awal di dalam kelas mengenai teknologi ini akan membuka mata mereka mengenai potensi yang mampu dicapai. Seterusnya, mereka akan lebih bersedia dengan cabaran masa depan di alam perkerjaan nanti yang mungkin memerlukan mereka menggunakan teknologi ini. Oleh itu, mempunyai sebuah mesin pencetak 3D di dalam kelas merupakan impian saya untuk 2016.