- Back to Home »
- inovasi web , perkongsian , sumber pembelajaran »
- Kenali Khan Academy
Posted by : Cikgu Siber
Selasa, 2 Jun 2015
Seorang pemuda telah mencetuskan revolusi pendidikan dengan satu misi iaitu menawarkan pendidikan bertaraf dunia untuk semua di mana-mana sahaja, secara percuma. Beliau, Salman Khan, 38 tahun, merupakan seorang rakyat Amerika berketurunan India dan Bangladesh, mempunyai 3 ijazah dari Massachusetts Intitute of Technology dalam bidang matematik, kejuruteraan elektrik dan sains komputer, kemudiannya mengambil MBA di Harvard Business School.
Khan Academy tercetus secara tidak sengaja. Ujar Khan, ia bermula sebagai hobi. Pada mulanya beliau hanya memulakan kelas tutorial matematik kepada sepupunya, Nadia menerusi Yahoo!'s Doodle Notepad. Setelah menerima permintaan dari rakan-rakan dan saudara maranya, seorang sahabat berpandangan adalah lebih baik untuk beliau menghasilkan video tutorial dan memuat naik ke YouTube.
Pantas, perkongsian beliau mempunyai aura yang tersendiri, beliau seterusnya menjadi sensasi di Youtube dan menerima banyak dorongan dan catatan testimoni yang merangsangnya untuk beliau melangkah lebih jauh. Maka beliau bertekad untuk berhenti kerja di Connective Capital Management sebagai penganalisis kewangan pada tahun 2009 untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada projek Khan Academy.
Pada 2010 di Aspen Ideas Festival, Bill Gates telah mengumumkan yang beliau telah menggunakan video Khan untuk mendidik anaknya. Khan setelah diberitahu hal tersebut berkata beliau sedikit gementar seraya berseloroh "Ianya hanya sebuah video untuk Nadia, bukan untuk Bill Gates". Selepas itu beliau menerima panggilan daripada Gates untuk ke pejabat Bill & Melinda Gates Foundation. Pertemuan penting itu telah membuka jalan luas kepadanya.
"He started by posting a math lesson, but his impact on education might truly be incalculable" - Bill Gates
Khan Academy seterusnya bergerak sebagai NGO dan menerima sumbangan dana termasuklah daripada Bill & Melinda Gates Foundation, Ann and John Doer, Google Inc. dan beberapa lagi nama. Pada mulanya Khan Academy hanya berfokus kepada matapelajaran matematik sahaja. Kini ia menawarkan kursus dalam pelbagai bidang seperti sejarah, kesihatan, kewangan, fizik, kimia, biologi, astronomi, kosmologi, ekonomi, musik, perkomputeran dan pelbagai lagi. Khan Academic juga diterjemah kepada lebih 20 bahasa dengan bantuan para rakaniaga dan sukarelawan.
" We identify the gaps [in children's knowledge], then we ignore them" Salman Khan, Founder
Konsep pembelajaran di Khan Academy adalah mudah. Mereka menawarkan video pembelajaran dan kuiz pengukuhan secara online. Selain menyediakan video tutorial pembelajaran, mereka juga memperkenalkan pendekatan-pendekatan baru dengan mempromosikan Gamification of Learning, iaitu galakan motivasi pembelajaran menerusi permainan video dan aplikasi elemen-eleman permainan dalam persekitaran pembelajaran.
Sehingga kini mereka menawarkan lebih 400 juta bahan pembelajaran dalam pelbagai topik secara percuma menerusi www.khanacademy.org. 2.5 billion latihan telah disiapkan dengan purata 4 juta latihan setiap hari. Selain itu terdapat lebih 500,000 guru berdaftar di Khan Academy dari seluruh dunia.
Pada 2012, Khan disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 manusia berpengaruh di dunia oleh Time.
Sebarang penyalinan artikel ini hendaklah dikreditkan kembali ke blog ini. Terima kasih kerana berkunjung ke sini.