Posted by : Cikgu Siber Jumaat, 20 Mac 2015

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibentang di Dewan Rakyat seawal Oktober ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pindaan akta itu merupakan satu daripada langkah strategik yang komprehensif bagi menangani jenayah siber secara holistik dan mapan.

Katanya langkah pencegahan, penguatkuasaan, penambahbaikan serta pengemaskinian peraturan dan undang-undang sedia ada diharap mampu membendung perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Pindaan akta itu dibuat dengan mengambil kira beberapa peruntukan penting mengenai pentadbiran dan penguatkuasaan.

"Kementerian juga mengadakan beberapa siri libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan," katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dalam sesi soal jawab.

Bung Moktar bertanyakan mengenai rancangan kerajaan dalam mengawal penggunaan media sosial agar dapat membendung salah laku serta sejauh mana kesungguhan menghukum pesalah laku media sosial di negara ini.

Mengenai tahap kesungguhan kerajaan menangani perkara itu, Ahmad Shabery berkata kementerian bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Strategi Lautan Biru.

"Kementerian dan SKMM bersedia memberikan sebarang bantuan teknikal kepada agensi-agensi terlibat khususnya PDRM sekiranya diperlukan," katanya.

Tambah Ahmad Shabery, sehingga kini terdapat 11 kes penyalahgunaan media sosial telah dan sedang disiasat dengan beberapa individu telah dikenakan hukuman.

Katanya antara individu terlibat adalah sepasang suami isteri, Fuad Ariff Abdul Rashid dan Fatimah Maisurah Abdullah telah didenda RM200,000; Chow Mun Fai dipenjara setahun manakala Muslim Ahmad pula dikenakan denda RM300,000.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata belum ada lagi pelaksanaan undang-undang dari negara lain yang boleh dijadikan contoh oleh kerajaan.

"Kerajaan sentiasa menyusun langkah proaktif bagi mengekang perbuatan itu dan berbincang bersama semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kemudiannya, Ahmad Shabery berkata pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan mengambi kira kepentingan orang awam dan hak kebebasan bersuara bagi menjaga ketenteraman dan keamanan di negara ini.

"Kami juga tidak mahu orang ramai merasa dibuli dengan mudah kerana 'cyberbullying' merupakan satu isu besar selain 'phishing' dan penipuan perbankan," katanya.

Mengenai cadangan supaya kerajaan mengenakan hukuman denda lebih berat terhadap pesalah media sosial, Ahmad Shabery berkata perkara itu akan dirundingkan dengan pelbagai pihak berkaitan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Selain itu, Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman turut berharap pindaan kedua-dua akta itu juga akan dapat membendung penyebaran dakyah kumpulan militan terutamanya bagi tujuan merekrut anggota dalam kalangan rakyat negara ini melalui penggunaan media sosial.
-- BERNAMA

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -