Posted by : Cikgu Siber Rabu, 13 Julai 2016

Saya terlibat secara langsung dalam program rintis Asas Sains Komputer bersama MDEC pada tahun 2015. Inisiatif yang digelar Digitech@Schools memilih beberapa sekolah dari seluruh negara dari pelbagai kategori sekolah untuk menguji sebahagian daripada  kurikulum yang dirangka. 

Keputusannya akan menentukan kurikulum akhir yang akan digunakan bermula tahun 2017. Untuk makluman inisiatif ini telah bermula di sekolah rendah 3 tahun yang lalu dimana pelajar tahun 4 sehingga 6 diajar asas pengaturaraan merentasi subjek tertentu. Kini, pelajar tersebut di tahun 6 dan Asas Sains Komputer akan menyambut kumpulan ini dengan kandungan yang lebih mencabar pada tahun hadapan. 

Untuk tahun hadapan tiada lagi program ICT Literacy (ICTL). Ianya diganti dengan Asas Sains Komputer (ASK) dengan 2 jam waktu seminggu. Menariknya ianya akan dijadikan matapelajaran pilihan wajib bagi pelajar tingkatan 1. Mereka boleh memilih salah satu sama ada untuk menyertai kelas Rekabentuk & Teknologi (RBT) yang mengantikan subjek Kemahiran Hidup Bersepadu atau menyertai kelas Asas Sains Komputer. 

Sepanjang hari ini saya menyertai satu taklimat pengenalan Asas Sains Komputer di BTPN Perak bersama jurulatih utama yang telah diberi pendedahan di peringkat kebangsaan. Ini merupakan permulaan bagi penataran subjek baru ini dimana semua jurulatih utama selain sesi taklimat ini akan perlu mengikuti satu sesi lain secara bengkel selama tiga hari. 

Sepanjang sesi taklimat saya pertamakalinya melihat sulibus yang dihasilkan. Ianya selain mengfokuskan konsep asas ilmu Sains Komputer ia juga menerapkan elemen kretiviti menerusinya. Aplikasi Scratch yang diperkenalkan semasa kumpulan pelajar ini di sekolah rendah diberi lebih pendedahan untuk mereka lebih memahami konsep asas pengaturcaraan. Selain itu untuk pelajar tingkatan 1 mereka perlu menguasai bahasa pengaturcaraan HTML sebagai permulaan sebelum beralih kepada bahasa pengaturcaraan yang lebih mencabar untuk tahun seterusnya. 

Bersedia dengan keperluan sulibus, beberapa panduan serta modul disediakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan dan juga MDEC. Saya telah mencuba modul daripada MDEC semasa program rintis dan terbukti modul yang dibangunkan bersama ARUS Academy amat menarik sekali. Ia dirangka dengan memberi misi kepada pelajar untuk dilaksanakan. Menerusinya pelajar akan belajar konsep asas komputer secara tidak langsung dengan objektif pembelajaran tercapai.

Soalan yang penting yang ditanya semasa sesi taklimat adalah berapakah jumlah kelas yang ingin ditawarkan. Bolehkan sekolah menawarkan hanya subjek RBT sahaja atau semuanya ASK. Jawapan yang diberikan ianya terpulang kepada kesediaan sekolah dari segi fasiliti dan tenaga pengajar. Selain itu, ia juga bergantung kepada permintaan pelajar untuk menyertainya. ASK merupakan satu subjek yang agak mencabar. Berdasarkan pengalaman kami menjalankan projek rintis,  tidak digalakkan untuk pelajar kelas akhir untuk menyertai kelas ini.

Kesimpulannya, pengenalan ASK merupakan satu tindakan yang wajar dalam usaha kerajaan melahirkan generasi pencipta disamping mengajar kretiviti dan kemahiran penyelesaian masalah menerusinya kepada pelajar. Guru yang tiada asas dalam dunia Sains Komputer tidak perlu risau kerana semua bahan, modul serta tugasan telah disedian. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan percayalah pelajar akan belajar lebih pantas daripada anda setelah subjek baru ini diperkenalkan. 

Bergambar bersama kumpulan jurulatih utama Perak



Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -