- Back to Home »
- teknologi pengajaran »
- Rebiu projek Future Classroom @ SEMESTA
Posted by : Cikgu Siber
Ahad, 3 Januari 2016
SMK Sultan Tajul Arriffin, Manong, Perak bukanlah sebuah sekolah yang gah dengan prestasi akademik atau pencapaian dalam bidang ko-kurikulum. Ianya hanya sekolah luar bandar dengan dana yang terhad serta kemudahan yang minima. Menariknya disana, keazaman pentadbir serta guru dalam usaha memperkenalkan pendekatan pembelajaran baru berasaskan teknologi perlu diberi pujian.
Status projek rintis Digitaltech@Schools
SMK Sultan Tajul Ariffin (SEMESTA) terkenal dengan idea luarbiasanya berkenaan teknologi. Sepanjang 3 tahun sekolah telah berjaya melonjak pengiktirafan SSQS dari 2 bintang pada tahun 2012 kepada 5 bintang pada tahun 2014. Mereka diiktiraf sebagai antara 2 sekolah menengah pilihan untuk melaksanakan projek rintis Digitaltech@Schools dibawah seliaan MDeC sepanjang tahun 2015-2016.
Dalam projek Future Classroom @ SEMESTA yang dilancarkan sempena sambutan jubli emas pada tahun lalu, pihak sekolah berhasrat memasang lebih 25 buah televisyen ke dalam semua kelas dan bilik khas. Rayuan dana ditawar kepada kepada bekas pelajar serta sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan. Setelah beberapa bulan pihak sekolah berjaya memperolehi 8 buah televisyen. Sumbangan masih lagi dibuka sehingga matlamat tercapai.
Menyampaikan LADAP 2016 pertama di SMK Sultan Tajul Ariffin |
Mengapa televisyen?
Kebanyakkan sekolah ingin memasang projektor ke dalam kelas kerana saiz paparannya yang besar serta penggunaannya yang popular. Satu masalah dengan penggunaan projektor adalah; para guru merasa agak 'renyah' untuk menghubungkan laptop atau peranti pintar menerusi sambungan kabel HDMI/VGA. Selain itu, ia juga memerlukan pemasangan speaker berasingan untuk suara.
Televisyen merupakan satu solusi yang menarik. Teknologi Chromecast dipaut bersama televisyen dan dikawal menggunakan pelbagai aplikasi daripada peranti pintar dari telefon bersaiz 4 inci hinggalah laptop, menggunakan format perhubungan tanpa wayar. Kita sedia maklum televisyen mempunyai sistem audio yang baik cukup untuk kegunaan bilik kecil seperti kelas. Saiz 40 inci sudah memadai sebenarnya, namun jika tiada halangan bajet, saiz 48 atau 52 inci memberi sudut pandang yang lebih baik. Kos pemasangan dan perkakasan bagi sebuah sistem hanyalah sekitar RM1, 600 sahaja.
Sokongan Chromecast
Chromecast kini bukan terhad di ruang tamu sahaja. Pelbagai aplikasi pembelajaran telah dibangunkan untuknya. Untuk paparan slaid misalnya guru boleh menggunakan aplikasi Google Slides ataupun Polaris Office. Untuk paparan pembelajaran secara video, guru boleh mengunakan Youtube, TED serta beberapa lagi aplikasi pengstriman video.
Sokongan aplikasi terhadap teknologi ini semakin hari semakin bertambah. Begitu juga aplikasi untuk pendidikan seperti kuiz dan sebagainya. Ianya mampu menjadi alat pemapar set induksi yang berkesan atau boleh digunakan semasa kelas relief untuk memaparkan video pembelajaran guru-guru pakar. Guru hanya perlu masuk ke dalam kelas dan mengaktifkan aplikasi yang ingin digunakan, hanya beberapa sentuhan pada skrin pintar anda, lantas, kandungan sedia terpapar. Mudah bukan.
Potensi
Terdapat banyak lagi potensi untuk teknologi casting ini digunakan didalam bilik darjah. Untuk 2016 kami akan menganjurkan beberapa buah bengkel khas dan penggunaan Chromecast di dalam kelas akan menjadi salah satu tajuk utama. Sekolah sekitar Perak yang berminat boleh juga aturkan sesi latihan dalaman sekolah bersama kami. Jika ada kelapangan kami akan cuba membantu anda dan pihak sekolah dalam usaha menerapkan penggunaan teknologi ini ke dalam bilik darjah.
Chromecast vs. peranti mirror cast
Rakan-rakan ada yang bertanya, apa perbezaan antara kedua-dua teknologi ini?. Baiklah, sebagai pengenalan, Chromecast dikeluarkan oleh Google. Versi terkini Chromecast adalah Chromecast 2, namun ianya belum secara rasmi dibawa masuk ke Malaysia. Berbanding Chromecast lama selain rekabentuk, Chromecast 2 hanya membawa penambahan kecil dari segi prestasi.
Mirror cast pula ditawarkan oleh pelbagai pembuat dan harganya tidaklah ketara berbanding Chromecast. Ada juga jenama yang membolehkan peranti berperanan sebagaimana Chromecast dengan penggunaan aplikasi pihak ketiga. Namun, dari pengalaman rakan-rakan yang menggunakan peranti mirror cast, ianya tidaklah selancar dan sebaik sepertimana yang dijanjikan dalam katalog jualan mereka.
Chromecast hanya menghantar kandungan utama kepada paparan televisyen berbanding teknologi secara mirror yang memaparkan keseluruhan paparan skrin gajet di paparan televisyen. Melalui Chromecast gajet anda akan menjadi alat kawalan. Ini bermakna di skrin televisyen tidak muncul sebarang paparan lain seperti pilihan menu dan bingkai dalam skrin peranti pintar anda. Anda juga boleh meninggalkan aplikasi yang sedang disiarkan untuk menggunakan aplikasi lain seperti Telegram dan sebagainya, berbeza dengan mirror cast yang merakam seseluruhan aktiviti skrin.
Namun begitu, terdapat beberapa beberapa peranti pintar yang mampu untuk menyokong format mirror cast didalam aplikasi rasmi Google Chromecast. Untuk mengetahui sama ada peranti anda menyokong teknologi mirror ataupun tidak, pada aplikasi Chromecast (dimuat turun melalui Play Store atau iOS), anda boleh pergi ke menu Setting dan dibawah submenu Home anda boleh melihat menu Cast screen / audio. Jika fungsi ini muncul, prestasi perkakasan gajet anda dapat menyokong paparan secara mirror.
Sokongan mirror pada peranti Zenpad 7.0 dan Chromecast |
Dimana anda boleh dapatkan Chromecast?
Maxis merupakan retailer rasmi bagi Chromecast selain Lazada. Anda boleh mengunjungi mana-mana Maxis Centre seluruh negara untuk mendapatkannya dengan tanda harga RM170. Bagi pengguna pascabayar Maxis, anda akan diberikan diskaun sebanyak RM20. Jika anda bukan pengguna Maxis jadi saya sarankan anda 'meminjam' akaun rakan anda untuk mendaftar bagi diskaun tersebut.
Di Lazada harga yang ditawarkan adalah RM149 (tanpa pekej iflix) dan RM179 (langganan iflix selama setahun). Namun, ianya tertakluk kepada warranty antarabangsa berbanding tawaran Maxis yang boleh ditebus dimana-mana pusat khidmat mereka. Anda juga boleh mendapatkan versi terbaru Chromecast 2 di Shopee dengan harga RM201 (tidak termasuk kos penghantaran).
Fasa Ujian
Sepanjang 2016, para guru di SMK Sultan Tajul Ariffin akan menguji sepenuhnya teknologi ini dalam dunia sebenar. Kami akan kongsikan hasil dapatan setelah 3 bulan perlaksanaan untuk melihat kekuatan serta kelemahan yang wujud menerusinya. Adakah anda telah menggunakan teknologi ini dalam pembelajaran ada sebelum ini? Kongsikan bersama kami.