Posted by : Cikgu Siber Khamis, 31 Disember 2015

Maaf kerana lama tidak bersiaran kerana begitu sibuk dalam urusan berpindah tempat bertugas. Artikel mengenai Panduan Persembahan Multimedia juga tidak dapat disiarkan sepanjang Disember sepertimana yang dijanjikan, mungkin akan disiarkan sepanjang Januari dan Februari. Berikut merupakan rangkuman menarik dunia teknologi pendidikan sepanjang 2015 yang sempat kami siarkan dalam penulisan blog.

Persidangan Pendidikan. Tahun 2015 menyaksikan pelbagai persidangan dianjurkan bertemakan teknologi pendidikan. Saya sempat menyertai tiga persidangan besar seperti Digital Education Shows Asia (DESA 2015), Google for Education Seminar 3i, Leaps of Knowledge 2015. Juga menariknya tahun ini, Google Malaysia telah membawakan persidangan atas talian Google on Air yang pertama kali dianjurkan di luar benua Amerika. Selain itu saya juga berkesempatan menyertai persidangan-persidangan lain seperti ELT Connect dan GEG on Air yang memaparkan kandungan yang bermanfaat. Saya amat menyarankan para pendidik menyertai persidangan ini untuk melihat transformasi perdana dunia pendidikan serta dapat meluaskan jaringan rakan.

Pertandingan Abad ke-21. Kami memaparkan hebahan beberapa pertandingan peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Antaranya pertandingan robotik NRC, Liga Remaja KreatifBeaver Informatics & Computational Thinking (CT) Competions 2015, Kangaroo Math Competition, Peraduan iThink, Breakthrough Jr. Challenge dan sebagainya. Untuk 2016 kami akan memanjangkan lagi senarai dengan pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa yang boleh disertai pelajar.

Inovasi web ke gajet pintar. Tahun ini juga menyaksikan beberapa aplikasi pembelajaran hadir ke peranti pintar. Khan Academy melancarkan aplikasi pintar mereka pada September. Padlet juga menguji aplikasi pintarnya di iOS dan bakal melancarkan di Android. Beberapa lagi aplikasi web sedia menguji sistem mereka menerusi aplikasi mudah alih. Ianya satu usaha yang positif dan mungkin nanti untuk 2016 kita bakal menyaksikan ia menjadi ikutan dan sudah tentu ia menjanjian versi perisian yang lebih stabil.

Evolusi Frog VLE.  Frog VLE merupakan satu aplikasi pembelajaran yang digunakan di lebih 10,000 buah sekolah di Malaysia dengan pelaburan kerajaan yang besar. Apa yang menarik, pada tahun ini pihak Frogasia telah menawarkan banyak ciri-ciri baru. Apa yang menarik adalah penyiaran laman di laman web secara terbuka. Ini bermakna pengguna tidak perlu untuk log masuk kepada VLE. Ada pro dan kontranya disini, namun yang penting ia memudahkan pengguna mengakses segala maklumat.

Pengiktirafan kepada blogger. Pengenalan kategori National Educational Blogging di karnival e-pembelajaran NUCEL 2015 membuktikan penulisan blog masih lagi relaven dan kekal menjadi wadah utama yang praktikal.   Pada Disember lalu, blog Cikgu Siber telah terpilih sebagai blog kependidikan ketiga terbaik kebangsaan. Terima kasih kami ucapkan kepada para pembaca serta rakan-rakan yang telah banyak memberi sokongan kepada gerakan ini. Tahun 2016 kami akan berusaha menghidangkan hanya yang terbaik buat para pendidik.


Menerima pengiktirafan mewakili Cikgu Siber di NUCEL 2015


Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -