Posted by : Cikgu Siber Isnin, 7 September 2015

Kolej Komuniti Besut menyediakan kursus animasi 3D profesional peringkat sijil dengan kerjasama sebuah syarikat Jepun, bermula bulan ini, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh pada 15 Mac 2015. 


Menurutnya, kursus animasi 3D yang disediakan itu merupakan yang terbaik di negara ini memandangkan ia mendapat bimbingan kepakaran daripada Syarikat Studio Silver Ant dari Jepun yang bertanggungjawab menyediakan aktiviti animasi di Jepun.

“Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional digesa supaya merebut peluang yang disediakan kerana lulusan Animasi 3D mempunyai peluang pasaran kerja yang baik dengan pendapatan lumayan,” katanya kepada Bernama di sini.

Syarikat Silver Ant merupakan syarikat pembikinan animasi studio bertaraf antarabangsa seperti syarikat Lucasfilm, Ubisoft, Double Negative, Sunwoo Asia Pacific, Media Freaks, Southern Stars, Magma Studios dan Road Runner.

Menurut Idris, setiap lulusan bidang animasi 3D kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Justeru, katanya, Kolej Komuniti Besut mengadakan kursus itu bagi jangka masa 20 bulan dengan menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM1,200 bagi setiap semester kepada mereka yang berjaya mengikutinya.

Kemasukan untuk kursus animasi itu diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac, Julai dan November setiap tahun


TAWARAN KEMASUKAN NOVEMBER 2015

Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dipelawa untuk mengikuti kursus Sijil Animasi 3 Dimensi di Kolej Komuniti Besut bagi sesi November ini yang pendaftarannya telah dibuka sekarang.

Pengarah Kolej Komuniti Besut, Johari Omar berkata permohonan boleh dibuat dalam talian atau dengan mengisi borang yang boleh didapati di kolej berkenaan di Bangunan Eshan, Bandar Jerteh.

Beliau berkata hanya 60 tempat disediakan dan pemohon yang diterima masuk akan turut diberi bantuan kewangan sebanyak RM1,200 setiap semester.

Kursus adalah selama 20 bulan, katanya kepada Bernama.

Keterangan lanjut boleh diperoleh daripada Pegawai Pengambilan, May Toh Bee Kiew melalui talian 09-6972080.

Sementara itu lepasan Sijil Teknologi Pembuatan dan Sijil Seni Lukis Pelan turut dipelawa untuk mengikuti pengajian Diploma Mechanical Engineering Technology (CADD) yang turut dibuka mulai sekarang.

Sumber: Bernama


Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -