Posted by : bestari semesta Selasa, 26 November 2013


"Kita perlu bekerjasama, memupuk persefahaman bersama, berkongsi ilmu, dan maklumat berkaitan untuk menangani ancaman ini," Tan Sri Muhyiddin Yassin.                                                             
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) - Kesemua prasarana maklumat kritikal negara (CNII) perlu dilindungi sepenuhnya daripada ancaman siber untuk menggerakkan Malaysia ke dalam golongan berpendapatan tinggi negara-negara membangun dan berdiri di barisan depan inovasi dan penggunaan digital.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ancaman, serta serangan siber yang kian menular dan semakin serius, berpotensi menjejaskan hasrat kerajaan untuk memacu negara ke arah kerajaan ekonomi digital yang maju.

Katanya ancaman dan serangan siber ke atas sesebuah organisasi CNII boleh menyebabkan organisasi dan perkhidmatan CNII yang lain turut terjejas.

"CNII merupakan sektor utama yang perlu diberi perhatian kerana operasi CNII merangkumi penggunaan Teknologi Digital dan ICT yang kritikal.

"Sebarang ancaman, gangguan atau kemusnahan ke atas sistem ini boleh memberi impak yang sangat besar kepada negara," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-maya 5) di sini Selasa.

Muhyiddin berkata Digital Malaysia adalah pelan induk ekonomi negara yang akan mencetuskan ekosistem Digital bagi mempromosikan pengguna ICT secara menyeluruh dalam semua aspek pembangunan dan ekonomi.

Katanya Malaysia kini muncul teguh sebagai peneraju ekonomi digital dalam kalangan negara-negara membangun dan menurut penarafan Ekonomi Digital EIU, Malaysia berada pada posisi 36 daripada 70 negara.

Justeru, Muhyiddin yang juga pengerusi Jawatankuasa e-Kedaulatan berkata dengan pelaksanaan Arahan MKN 24: Mekanisme Pengurusan Krisis Siber Negara yang dilancarkan hari ini, kerajaan dapat mengetahui situasi keselamatan siber semasa dan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber.

"Saya menyarankan semua ketua agensi supaya memahami dan mematuhi sepenuhnya apa yang terkandung dalam arahan ini agar usaha dan strategi yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Saya juga menyarankan supaya semua agensi yang belum mewujudkan Computer Emergency Response Team (CERT) supaya mengambil tindakan segera membangunkan dan memperingkat prosedur dalaman berpandukan prosedur di peringkat nasional dalam mengendali insiden siber," katanya.

Arahan MKN 24 menggariskan enam prinsip utama bertujuan mengurus krisis siber meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas insiden, mencapai pendekatan seragam dan proaktif bagi memantau dan menangani ancaman siber secara berkesan serta menetapkan garis panduan untuk agensi kritikal membuat persiapan daripada pelbagai aspek dalam menghadapi sebarang ancaman dan serangan siber.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Malaysia bercadang menjemput penyertaan negara luar dan negara jiran dalam eksesais pengurusan krisis siber dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada inisiatif Malaysia untuk memperhebat kerjasama rentas sempadan dan perkongsian amalan terbaik.

"Malaysia tidak boleh bertindak sendirian dalam memerangi mereka (ancaman serangan siber). Kita menekankan kepada kerjasama serantau sebagai kaedah untuk mengurangkan ancaman siber dan disebabkan itu kerjasama antara negara-negara itu penting.

"Kita perlu bekerjasama, memupuk persefahaman bersama, berkongsi ilmu, dan maklumat berkaitan untuk menangani ancaman ini," katanya.

Beliau mengakui Malaysia komited ke arah memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan pemeliharaan ruang siber global yang selamat dan boleh dipercayai.

-- BERNAMA

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cikgu Razif -C2R Official Blog- Powered by Blogger - Designed by razxxf -