- Back to Home »
- keselamatan siber »
- Ancaman Siber - Bersediakah kita?
Posted by : bestari semesta
Khamis, 26 September 2013
Ancaman siber merupakan serangan yang dilancarkan secara maya terhadap infrastruktur, infostruktur dan aplikasi komunikasi fizikal dan tanpa wayar. Ancaman siber ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:
1. Pencerobohan (Intrusion)
Insiden pencerobohan sistem dan aplikasi komputer tanpa kebenaran dan berupaya mengubah kandungan sistem tersebut.
2. Penipuan (Fraud)
Merujuk kepada skim penipuan yang menggunakan satu atau lebih komponen internet dan telekomunikasi termasuklah ruangan chat, e-mel, papan buletin, laman web dan sms untuk mewujudkan ruangan pembujukan dan transaksi wang seperti laman web atau e-mail yang menyerupai atau kelihatan seperti badan kewangan atau syarikat yang sahih beroperasi (phishing), pelaburan e-dagang atau skim piramid.
3. Gangguan (Harassment)
Melibatkan penghantaran mesej, gambar dan video yang berunsur fitnah, lucah, gangguan dan ancaman kepada pengguna lain.
4. Ancaman Pencerobohan (Hack Threat)
Merangkumi serangan ke atas sistem dan aplikasi komputer agensi-agensi tertentu dengan tujuan melumpuhkan operasi sistem dan aplikasi komputer bagi agensi berkenaan.
5. Kod Berbahaya (Malicious Code)
Merupakan perisian atau skrip komputer yang diprogramkan untuk menceroboh komputer dan merosakkan sistem. Kod berbahaya termasuklah skrip serangan, virus, worm, Trojan horse, program Back door dan kandungan aktif berbahaya.
6. Gangguan Perkhidmatan (Denial of Service)
Merupakan serangan ke atas sesuatu sistem atau aplikasi komputer yang menyebabkan para pengguna tidak dapat mencapai dan menggunakan sistem atau aplikasi berkenaan.
Sumber: MKN, SKMM